Kain rentang Kerabat dibakar
SERI SERDANG – Kain rentang penganjuran Majlis Himpunan Bekas Tentera Bersama Rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang digantung di persimpangan lampu isyarat di Taman Seri Serdang di sini dibakar dipercayai akibat perbuatan khianat individu tidak bertanggungjawab, pagi semalam.
Difahamkan, kejadian hanya disedari Ahli Jawatankuasa Penaja Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (Kerabat) Selangor kira-kira jam 7.30 pagi selepas melihat kain rentang yang digantung sebelum itu dicampak ke laluan pejalan kaki kawasan berhampiran.
Ahli jawatankuasa Kerabat, Kamarulzaman Ibrahim berkata, kain rentang berkenaan digantung awal pagi Rabu lalu untuk memaklumkan kepada orang ramai berhubung program yang bakal diadakan esok di dewan tertutup Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPSJ), Serdang Jaya.
“Penganjur ingin memaklumkan beberapa pimpinan tertinggi PR termasuk, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang dijangka akan turut hadir pada program berkenaan.
“Malangnya belum pun program diadakan, kain rentang sudah dibakar pihak tidak bertanggungjawab. Kita menggantungkan empat kain rentang di empat lokasi berbeza, satu daripadanya dibakar manakala satu lagi digunting dan ditinggalkan di tepi jalan,” katanya.
Kamarulzaman berkata, dia sendiri tidak tahu bila kain rentang dibakar namun percaya ia dilakukan awal pagi ketika tiada orang yang menyedari hal berkenaan.
“Semalam (kelmarin) keadaannya masih elok namun pagi tadi, ia sudah rosak akibat dibakar. Kami tidak tahu apa motif ia dibakar namun mengesyaki wujudnya unsur khianat dalam kejadian itu.
“Berkemungkinan pihak itu tidak mahu orang ramai mengetahui maklumat berhubung majlis dan tidak mahu orang ramai hadir ke perhimpunan yang dijangka bakal dihadiri antara 5,000 dan 6,000 bekas tentera dari seluruh negara itu,” katanya.
Katanya, pihaknya berharap polis menjalankan siasatan terperinci mencari dalang yang melakukan perkara itu.
“Kami juga mohon polis memantau perkara-perkara lain supaya insiden sama tidak berulang. Satu laporan turut dibuat di Balai Polis Serdang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam
No comments:
Post a Comment